HIBURAN



Rain masuk tentera 2011


RAIN


OLEH kerana terlalu banyak kontroversi yang melibatkan kemasukan selebriti ke pusat latihan ketenteraan di Korea Selatan, penyanyi dan pelakon terkenal Korea, Rain, memutuskan untuk mengumumkan tarikh penyertaannya lebih awal.
Rain mengumumkan akan menyertai latihan ketenteraan yang wajib diikuti setiap lelaki di negara itu pada tahun hadapan iaitu 2011.
Dia membuat pengumuman berkenaan pada majlis sidang media pelancaran drama terbaru lakonannya yang berjudul Fugitive yang baru sahaja ditayangkan di KBS2TV minggu lalu.
Katanya: "Saya percaya kemasukan saya ke pusat latihan ketenteraan akan berlaku pada tahun hadapan. Selepas drama ini, saya akan menjalani penggambaran filem aksi yang menyebabkan saya membuat keputusan menyertai latihan tentera tahun depan."
Drama Fugitive lakonannya itu akan menggantikan drama Baker King, Kim Tak Goo dan akan bersaing dengan dua drama hebat My Girlfriend is a Nine-Tailed Fox dan Playful Kiss yang ditayangkan di stesen televisyen yang lain untuk merebut rating penonton.





Kelly belum lupakan Luke



KELLY OSBOURNE (kanan) bersama bekas tunangnya, Luke Worrall.



KELLY OSBOURNE telah membuat pengakuan kepada pengacara Ellen DeGeneres bahawa dia masih belum dapat melupakan bekas tunangnya, Luke Worrall selepas mereka berpisah pada Julai lalu.
Penyanyi berusia 25 tahun itu memberitahu dia menamatkan hubungan dengan Luke selepas mendapati bekas tunangnya itu berlaku curang. Selain daripada itu, Kelly dan Luke tahu mereka berdua tidak gembira dengan perhubungan itu.
Cuma Kelly masih menyimpan harapan untuk kekal bersama Luke. Katanya: "Ia adalah perkara paling sukar yang perlu saya hadapi dalam hidup saya dan saya masih belum dapat atasinya. Ada kalanya, saya teringin untuk kembali ke sisinya.
"Namun, saya tahu ia tidak betul. Pada saya, satu-satu hubungan itu paling manis ketika dalam percintaan. Tapi kami tidak lagi gembira.
"Dia dan saya perlu meneruskan hidup, tetapi malangnya dengan haluan masing-masing. Ia lebih teruk kerana saya mahu berkahwin dengannya. Saya mahu menghabiskan hidup saya dengan dia."
Kelly yang baru-baru ini dikaitkan dengan pelakon Gossip Girl, Chase Crawford bagaimanapun menafikan khabar angin itu dan menyatakan dirinya masih belum bersedia untuk bercinta sekali lagi.
Namun, jika Kelly bersedia, dia mahukan lelaki yang mampu mempertahankan dirinya. Tambahnya kepada Ellen: "Saya belum mahu bercinta lagi. Saya dikhabarkan sedang bercinta dengan Chace dan saya sendiri tidak pernah bertemunya lagi."



Rahsia pemalu Tun Dr. Mahathir

roni.ridwan@kosmo.com.my





PEMENTASAN Muzikal Tun Mahathir yang dipersembahkan pertama kali pada malam 23 September lalu telah membuka sebuah rahsia besar mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir.
Ironi, pada mata kasar, tokoh ini dilihat begitu berwibawa mengemudi pelbagai polemik yang melanda negara di mata dunia. Diangkat sebagai salah seorang pemimpin terbaik dunia, Tun dalam sebuah kehidupan peribadinya, hanya seorang anak kampung biasa daripada Kedah yang pernah menjadi seorang peniaga belon.
Lebih daripada itu, hakikatnya, lelaki yang selalu dilihat dalam karisma tersendiri dan bijak berhujah ini sebenarnya adalah seorang pemalu terhadap wanita. Lantas bagaimana beliau menterjemahkan cintanya buat Tun Dr. Siti Hasmah yang dinikahi sejak 54 tahun lalu.
Semuanya itu dipentaskan dengan penuh romantik dalam pementasan tersebut yang menyaksikan percubaan beliau memikat Siti Hasmah ketika sama-sama menuntut di Kolej Perubatan King Edward Vll, Singapura, sekitar tahun 40-an dulu.
Segala yang dipentaskan, suka duka dan momen peribadi milik tokoh berusia 85 tahun itu dilihat sebagai satu langkah yang bijak agar masyarakat dapat mengetahui serba sedikit tentang latar kehidupan bekas Perdana Menteri Malaysia itu yang tidak diketahui umum.
Bagi Esma Daniel, Erra Fazira dan Zizan Nin, dipilih memegang karakter penting dalam pementasan tersebut dianggap sebagai suatu yang di luar jangkaan.
Menurut ketiga-tiga pelakon tersebut, memegang peranan sebagai seorang tokoh negarawan yang terbilang di negara ini pastinya bukan tugas yang mudah. Apatah lagi sekiranya membawakan watak sebagai seorang tokoh yang masih lagi hidup dan terkenal di seantero dunia.


ESMA DANIEL membawa watak Tun Mahathir dengan cara tersendiri.



Esma yang sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan mengakui bahawa dia sendiri sangat terkejut apabila ditawarkan untuk memegang watak utama sebagai Tun Dr. Mahathir Mohamad empat bulan yang lalu.
“Untuk memastikan saya mampu membawakan watak ini dengan berkesan, saya banyak mendapatkan maklumat tentang Tun daripada anak lelaki beliau, Mirzan Mahathir dalam satu pertemuan secara eksklusif yang diaturkan oleh pihak Istana Budaya. Saya juga banyak membaca blog dan buku-buku hasil tulisan beliau untuk memahami karakternya dengan lebih dekat,” ujarnya.
Bagi menjayakan pementasan ini juga, Esma mengakui dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon semata-mata untuk memberi tumpuan terhadap watak yang baginya sangat mencabar dan benar-benar menguji kemampuannya sebagai seorang pelakon.
Mengenai Tun Dr. Mahathir, Esma berpendapat, tokoh tersebut adalah individu yang sangat terkenal dan hebat. Pemikiran dan ideologi beliau banyak mempengaruhi serta memberi inspirasi kehidupan rakyat di negara selama 22 tahun memerintah tidak harus dilupakan sama sekali.
Lakonan Mazhar Mahathir
Sementara itu, Zizan Nin yang membawakan watak Tun Dr. Mahathir ketika remaja turut mempunyai pandangan mengenai tokoh negarawan itu.
“Semasa di sekolah rendah dahulu, saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang Perdana Menteri. Kini saya hanya memainkan watak sebagai bekas Perdana Menteri, tetapi itu sudah memberikan satu kepuasan kepada diri kerana Tun Dr. Mahathir adalah seorang tokoh yang cukup saya kagumi,” katanya yang mengaku perlu banyak memperbaiki diri kerana pertama kali terlibat dalam teater.
Menurut Zizan lagi, banyak cabaran yang harus dilalui apabila dia sendiri tidak berbakat dalam tarian dan nyanyian. Namun dengan segala tunjuk ajar yang diterima sepanjang latihan, akhirnya dia mampu membawakan watak tersebut dengan baik.


BABAK antara askar Jepun dengan orang kampung turut dipaparkan.



Manakala bagi Erra yang memegang watak Tun Dr. Siti Hasmah, meskipun hanya terbabit dalam tujuh babak sahaja, namun dia tetap memainkan peranan yang besar dalam sebahagian daripada kehidupan tokoh pemimpin tersebut.
“Pertama sekali, sudah tentu saya berasa amat lega selepas persembahan yang pertama dipersembahkan dan sangat gembira melihat sambutan yang diberikan oleh penonton. Biarpun tidak banyak babak membabitkan saya, namun saya akan memastikan watak yang saya bawa itu mampu memberi kesan mendalam terhadap kewujudan Tun Dr. Siti Hasmah sebagai isteri seorang pemimpin negara,” ujar pelakon yang pernah muncul dalam teater Selendang Umi sebelum ini.
Menariknya, anak angkat Tun Dr. Mahathir sendiri, Mazhar Mahathir turut berlakon dalam muzikal tersebut dan memegang watak sebagai Mr. Thompson dan Peter. Jelasnya, dia sendiri begitu teruja kerana ini kali pertama dia dipilih untuk berlakon dalam sebuah pementasan muzikal yang besar.
“Tentang penglibatan dalam bidang teater, saya mendapat sepenuh kepercayaan dan sokongan daripada ahli keluarga sendiri. Saya memang minat dengan bidang ini sejak dari tingkatan satu apabila selalu dibawa menonton persembahan teater,” ujarnya yang kini menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan teater.





Kematangan Zaquan yakinkan Ayu








TARIKH 10 Oktober 2010 sepatutnya menjadi hari bahagia kepada aktres jelita, Ayu Raudhah bersama kekasih hatinya, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak. Dikhabarkan akan bertunang pada hari tersebut, penyebaran berita itu bagaimanapun dinafikan oleh tuan punya badan.
Penafian itu bukan membawa maksud sesuatu buruk telah terjadi pada hubungan mereka. Cuma buat masa ini, pasangan itu terutama Zaquan tidak mempunyai masa secukupnya untuk meneruskan perancangan mereka.
Sungguhpun rancangan pertunangan itu perlu ditunda, Ayu yang ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! tampak gembira. Mengukir senyuman, Ayu mengaku dirinya amat bahagia di samping pemain bola sepak kebangsaan itu.
“Pada mulanya kami memang berbincang dengan keluarga masing-masing untuk menjalankan majlis pertunangan pada bulan Oktober ini. Namun, disebabkan jadual yang sibuk, kami membatalkan niat itu. Mungkin dari situ ada khabar angin yang tersebar bahawa kami akan bertunang pada tarikh tersebut,” ujar Ayu.
Tidak mahu mendesak, Ayu mahu menggunakan masa secukupnya untuk membuat perancangan. Dia tidak mahu majlis yang berlangsung secara kelam-kabut dan ingin menunggu masa lapang Zaquan supaya semuanya dapat berjalan lancar serta dalam keadaan relaks.
Baru-baru ini, keluarga kedua-dua pihak bagaimanapun sudah mengesahkan bahawa pasangan itu akan bernikah pada bulan Januari depan.
“Kami kedua-dua pihak keluarga memang merestui hubungan mereka. Jika ada jodoh, majlis pernikahan akan berlangsung awal tahun depan.




AYU mengakui ada susah dan senang untuk mengawal Zaquan.





“Cuma setakat ini belum ada tarikh muktamad tetapi akan ditetapkan dalam masa terdekat,” ujar bapa Zaquan, Abd. Radzak Salleh, 61, kepada media baru-baru ini.
Berkenalan selama setahun, Zaquan menurut Ayu sebenarnya mahu bernikah terus. Ini semua disebabkan faktor masa. “Memang dalam adat kita akan merisik, bertunang dan kemudian bernikah. Tapi kalau bernikah terus juga tidak ada salahnya.
“Itu pandangan Zaquan kerana dia tidak mempunyai masa untuk melakukannya secara berperingkat. Jadi kami juga mungkin akan terus bernikah sahaja,” tambah Ayu yang beraya di Alor Setar, Kedah bersama keluarganya.
Mula meminati Zaquan selepas melihat papan iklan di tepi jalan raya, Ayu sebelum itu pernah menyaksikan perlawanan kekasihnya di Stadium Bukit Jalil bersama kakaknya sebagai seorang peminat.
Namun, mereka hanya berkenalan selepas kawan Ayu yang juga merupakan pemain bola memperkenalkan Zaquan. Akui dirinya amat cemas pada pertemuan pertama, Zaquan bagaimanapun menjadi pihak yang mula menghantar SMS.
“Kami hanya berhubungan menerusi telefon selepas pertemuan itu. Macam kawan biasa. Apabila Zaquan mengajak saya berkawan secara serius, saya sendiri tidak pasti. Tapi tidak sangka hubungan kami boleh sampai tahap ini dan sejujurnya saya amat bahagia,” senyum Ayu yang baru sahaja menghabiskan rakaman drama Nujum Siber.
Dilamar tiga bulan lalu, Zaquan sebenarnya sudah berbicara mengenai pertunangan tersebut sejak tahun lalu lagi. Namun, lamaran itu hanya berlaku menerusi satu panggilan telefon. Walaupun begitu, sifat dan perwatakan Zaquan telah membuatkan Ayu bersetuju dengan lamarannya.
“Dia seorang yang romantik dan ramah. Malah dia seorang yang berbudi bahasa terutama di hadapan orang tua. Disebabkan itulah ibu saya amat menyukai dia. Mungkin bagi orang yang tidak mengenali dia, wajahnya kelihatan sombong. Tapi sebenarnya dia seorang yang sopan,” tambahnya lagi.
Berumur 26 tahun, Ayu seperti yang diketahui umum lebih tua daripada Zaquan, 23. Ditambah dengan populariti Zaquan, tidakkah Ayu risau kekasihnya itu akan didampingi ramai wanita lain?
“Tidak susah dan senang sebenarnya untuk ‘mengawal’ dia. Tapi apa yang penting adalah kepercayaan. Saya amat mempercayai dia dan kalau tidak ada kepercayaan itu, kita sendiri yang susah. Kematangan Zaquan juga mengukuhkan lagi hubungan kami.”
Menyimpan hasrat untuk berkahwin pada usia 21 tahun sejak kecil lagi, harapan Ayu itu tidak kesampaian. Ini kerana Ayu bukan seorang wanita yang mementingkan karier tetapi suka memiliki keluarga sendiri.




MENGIMPIKAN perkahwinan romantis di pulau, Ayu bagaimanapun tidak kisah majlis pernikahannya nanti diadakan secara kecil-kecilan.





Selain daripada mahu membina keluarga sendiri, Ayu juga berharap majlis perkahwinannya berlangsung secara kecil-kecilan dengan dihadiri hanya keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat.
“Dari dulu lagi memang saya sukakan majlis peribadi di pulau. Tapi kalau keluarga Zaquan hendakkan majlis secara besar-besaran, saya tidak kisah. Cuma di pihak saya, saya memang mahu majlis kecil,” tambah Ayu yang sudah menerima banyak tawaran penajaan untuk majlis pertunangannya.