Monday, September 27, 2010

United bernasib baik...(Dari Akhbar Kosmo !)


OWEN (dua dari kiri) meledakkan gol ke-200 untuk menyelamatkan United daripada tewas kepada Bolton malam tadi.

LONDON – Manchester United melepaskan peluang untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Perdana England, Chelsea apabila sekadar seri 2-2 dengan Bolton pada aksi di tempat lawan malam tadi.

Namun, United boleh dianggap bernasib baik selepas dua kali ketinggalan kepada Bolton sebelum jaringan ke-200 Michael Owen untuk saingan liga itu menyelamatkan skuad bimbingan Alex Ferguson itu daripada menerima kekalahan.

“Bolton tampil hebat dan berjaya menafikan peluang yang kami miliki. Pujian harus diberikan kepada pemain kami kerana bangkit daripada ketinggalan. Bagi saya, ia keputusan yang adil,” kata Ferguson.

Bolton mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan Zat Knight hasil sepakan penjuru Martin Petrov sebelum United menyamakan kedudukan pada minit ke-23 hasil gerakan solo Nani.

Biarpun United dilihat mendominasi permainan selepas itu, Bolton sebaliknya berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-67 hasil jaringan Petrov menerusi satu serangan balas.

Bolton hampir menjadikan kedudukan 3-1 beberapa minit kemudian tetapi percubaan Johan Elmander melepasi palang gol.

Namun, kemasukan Owen yang menggantikan Darren Fletcher pada minit ke-71 membawa tuah buat United apabila hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi satu tandukan cantik.

Dengan keputusan seri itu, United berjaya memintas Arsenal untuk menduduki tangga kedua dengan 12 mata, kurang tiga mata di belakang Chelsea.

Biarpun menjaringkan gol penting buat United, Owen tetap berasa kecewa kerana pasukannya itu gagal mengutip tiga mata penuh untuk merapatkan jurang dengan Chelsea yang tewas 0-1 kepada Manchester City kelmarin.

“Stadium ini sentiasa menjadi tempat yang sukar buat pasukan lawan. Kami mencipta banyak peluang dan mendominasi perlawanan. Sebab itulah kami agak kecewa kerana hanya dapat mengutip satu mata.” – AFP

“Memang sesuatu yang menyeronokkan apabila dapat menjaringkan gol tetapi ia agak kurang serinya kerana kami gagal mencatat kemenangan.

“Sepatutnya inilah peluang terbaik untuk kami merapatkan jurang mata setelah melihat keputusan mengejut yang dialami pencabar-pencabar lain pada aksi minggu ini,” kata Owen. – AFP

No comments:

Post a Comment