Tuesday, January 18, 2011

United konsisten

PENGADIL Mike Dean melayangkan kad kuning kepada Rafael ketika United menentang Spurs awal pagi semalam.


LONDON - Sekalipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, Manchester United masih mampu tampil dengan aksi penuh konsisten. Ia terbukti apabila skuad kendalian Alex Ferguson itu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam.
Keputusan itu sekali gus meyakinkan Ferguson bahawa anak-anak buahnya memiliki kekuatan mental yang tinggi bagi menjulang trofi kejuaraan liga musim ini.
Pada aksi yang berlangsung di White Hart Lane itu, skuad The Red Devils terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Rafael da Silva dilayangkan kad merah ekoran menerima kad kuning kedua pada minit ke-74.
Bagaimanapun, situasi tersebut sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan United yang kini merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga.
Walaupun berkongsi 45 mata dengan Manchester City yang menghuni tangga kedua, United lebih layak berada di puncak liga berdasarkan jumlah jaringan gol.
Masih memiliki kelebihan dua perlawanan iaitu menentang Chelsea dan Blackpool, Ferguson percaya skuad kendaliannya mampu muncul selaku juara liga jika anak-anak buahnya terus tampil dengan aksi yang lebih konsisten.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, siapa yang bakal bergelar juara liga hanya akan diketahui pada penghujung saingan musim ini.
"Kesemua lima kelab teratas liga dilihat memiliki peluang yang sama rata untuk muncul selaku juara termasuk Spurs.
"Kami perlu mencatatkan kemenangan pada dua perlawanan yang menjadi kelebihan buat kami iaitu menentang Chelsea pada 1 Mac depan dan Blackpool yang kini dilihat semakin konsisten," jelas Ferguson.
Dalam pada itu, Ferguson ternyata kurang senang dengan tindakan pengadil perlawanan yang melayangkan kad merah kepada Rafael.
"Saya tidak mahu berbicara mengenai perkara ini kerana kamu sendiri boleh menilainya," kata Ferguson.
Pengurus Spurs, Harry Redknapp turut sependapat dengan Ferguson apabila dia menganggap Rafael menjadi mangsa keadaan dan tidak bernasib baik. - AFP

Barca enggan dibuai selesa

Barca enggan dibuai selesa

DAVID VILLA


MADRID - Barcelona kini mengatasi pencabar terdekatnya, Real Madrid dengan kelebihan empat mata selaku pendahulu Liga Sepanyol. Awal pagi semalam, kelab Catalan itu meraih tiga lagi mata berharga selepas mudah membenam Malaga 4-1 manakala Real sekadar seri 1-1 dengan Almeria.
Selesa mendahului 3-0 menerusi jaringan Andres Iniesta pada minit kelapan, David Villa (18) dan Pedro (36), Malaga merapatkan kedudukan hasil ledakan Duda (68).
Bagaimanapun, Villa mengakhiri sisa-sisa perjuangan Malaga apabila meledak gol keempat Barca pada minit ke-74.
"Adalah tidak wajar untuk terlalu berbicara tentang jurang empat mata ini kerana pada peringkat ini ia bukanlah sesuatu yang besar.
"Saingan liga masih panjang dan kami juga berkemungkinan boleh tercicir mata. Apa pun kami akan terus mengambil risiko untuk beraksi dengan gaya permainan kami ini.
"Adalah penting untuk kami terus bekerja keras dan memberi fokus terhadap perlawanan kami," kata jurulatih Barca, Pep Guardiola.
Sementara itu, jaringan Esteban Granero pada minit ke-77 menyelamatkan Real daripada mengalami kekalahan setelah mereka ketinggalan menerusi Jose Ulloa pada minit ke-60.
Ternyata Real begitu merasai ketiadaan penyerang mereka, Gonzalo Higuain yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.
"Kami keciciran dua mata tetapi secara keseluruhannya, kami telah melakukan yang terbaik sepanjang separuh pertama saingan musim ini.
"Kami masih mahu muncul juara liga dan bukan semata-mata mencari keputusan terbaik.
"Jadi kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku bermula dari sekarang," kata jurulatih Real, Jose Mourinho.
Pengendali Real itu turut berang dengan pengadil perlawanan yang tidak memberikan sepakan penalti kepada pasukannya.
"Saya harap (pengadil) Perez Lasa tidak akan dipilih mengadili perlawanan kami lagi selepas ini dan juga perlawanan Barcelona. Saya kenal dia sejak 1996 dan untuk 2011, dia tetap Lasa yang sama," ujarnya. - AFP